Biologi dan Gejala
Nama kulapuk jelaga berasal daripada ketumbuhan seperti bebenang gelap (miselium) kulat yang menyerupai lapisan jelaga. Kulapuk jelaga adalah penyakit kulat yang hidup pada tumbuhan dan permukaan lain yang diliputi oleh miselium hitam gelap pada permukaan atas atau bahagian bawah daun kelapa sawit.
Penyakit ini menyerang daun pelepah tua kelapa sawit. Patogen boleh dilihat tumbuh pada permukaan bawah atau atas daun pinat kelapa sawit tetapi tidak menembusi ke dalam tisu daun atau menyebabkan kerosakan fizikal. Tidak seperti penyakit kulat sebenar, kulapuk jelaga mudah dikesat dari permukaan daun.
Kebiasaannya, patogen menyerang kelapa sawit yang berumur lebih daripada lima tahun selepas penanaman. Hujan dan kelembapan yang tinggi menggalakkan pertumbuhan patogen. Patogen tidak memberi kesan langsung kepada pengeluaran hasil kelapa sawit tetapi hanya mengganggu proses fotosintesis yang berlaku pada daun.
Kulapuk jelaga bukannya kulat hemibiotropik dan tidak menjangkiti atau menyerang tindak balas sistemik tumbuhan. Kulat secara tidak langsung boleh merosakkan tumbuhan dengan menyalut daun dan menyebabkan cahaya matahari tidak boleh sampai ke permukaan daun. Tanpa cahaya matahari yang mencukupi, keupayaan tumbuhan untuk menjalankan fotosintesis berkurangan dan terganggu, seterusnya membantutkan pertumbuhan pokok. Daun yang disaluti juga boleh menjadi kuning, menua sebelum waktunya dan mati, mengakibatkan daun pramatang gugur. Ia juga akan mengurangkan kualiti kejadian buah kelapa sawit.
Penyebab
Beberapa patogen kulapuk jelaga kelapa sawit dikenal pasti sebagai Meliola elaeidis (Afrika); Brooksia tropicalis (Afrika, Sabah, PNG); Ceramothyrium sp. (Sabah) dan Capnodium sp (Thailand). Kulat lain yang berkaitan dengan kulapuk jelaga pada tanaman adalah Limacinula samoenesis (kelapa); Microxiphium spp. (cili, kelapa, kelapa sawit); Trichomerium spp. (kelapa, kelapa sawit), Ripospermum gardneri (kelapa sawit, koko). Genera kulat lain yang direkodkan adalah Antennulariella, Limacinula dan Parascorias.
Penyakit ini juga boleh disebarkan melalui spora yang dibebaskan oleh kulat melalui angin, air hujan atau vektor seperti koya, afid, koya, sisik atau lalat putih. Vektor serangga ini boleh membawa spora miselium kepada tumbuhan.
Kawalan dan Pengurusan Penyakit
Daun kelapa sawit yang dijangkiti hendaklah dibuang dan dipangkas bagi mengelakkannya daripada merebak kepada daun lain yang sihat. Pengudaraan dan cahaya matahari yang mencukupi di ladang perlu dititikberatkan supaya semua bahagian daun kelapa sawit menerimanya.
Serangan vektor seperti koya, afid, sisik atau lalat putih harus dimusnahkan dengan menggunakan racun perosak yang sesuai seperti minyak putih, minyak mambu atau minyak hortikultur. Sembur pada waktu petang selepas kelapa sawit tidak lagi berada di bawah cahaya matahari secara langsung kerana minyak ini dapat meningkatkan kesan cahaya matahari dan daun berisiko mendapat selaran matahari. Sembur dengan larutan sabun pencuci pinggan untuk membersihkan kulapuk selain membunuh beberapa perosak yang menyebabkan kulapuk jelaga. Sentiasa ikut arahan apabila menggunakan sebarang racun perosak. Pengurusan perosak yang betul perlu dipertimbangkan dalam merawat kelapa sawit yang diserang perosak ini.