Ekologi
Anai-anai adalah serangga sosial yang hidup dari sekecil-kecil sehingga sebesar-besar koloni, suatu koloni bagi sesetengah spesies mengandungi hampir satu juta atau lebih individu. Serangga ini terkenal sebagai komponen penting dalam meleraikan kayu mati dan tumbuh-tumbuhan. Maklumat terkini dan pengenalan spesies anai-anai di Malaysia merujuk kepada Tho (Semenanjung Malaysia) dan Thapa (Sabah). Kira-kira 175 spesies anai-anai direkodkan daripada 43 genera daripada tiga famili, Kalotermitidae, Rhinotermitide dan Termitidae, di Semenanjung Malaysia. Di Sabah, 103 spesies dan subspesies direkodkan, dengan 38 daripadanya daripada tiga famili yang sama. Terdapat kira-kira 22 spesies genus Coptotermes direkodkan dari kawasan Indo-Malayan, enam dilaporkan dari semenanjung Malaysia dan empat dari Sabah. Terdapat kira-kira 22 spesies daripada genus Coptotermes direkodkan dari kawasan Indo-Malayan, enam dilaporkan dari semenanjung Malaysia dan empat dari Sabah. Enam spesies tersebut ialah Coptotermes curvignathus, C. sepangensis, C. kalshoveni, C. travians. C. gestroi, C. havialandi dan C. robustus. Coptotermes curvignathus adalah spesies yang menyerang kelapa sawit dan kebanyakannya bersarang pada batang utama atau dahan.
Penyebab
Populasi C. curvignathus yang tinggi ditemui di habitat aslinya di paya gambut yang juga menyumbang kepada keterukan dan tingginya kejadian serangan anai-anai pada kelapa sawit yang ditanam di tanah gambut.
Gejala
Anai-anai biasanya ditemui di kawasan yang pembersihan tanah tidak dilaksanakan dengan betul, dengan tunggul balak dibiarkan terdedah di ladang. Tunggul balak yang terbiar ini berfungsi sebagai sumber makanan anai-anai dan tempat bersarang. Anai-anai boleh menyerang semua peringkat umur pokok kelapa sawit. Serangan boleh terjadi seawal 6 bulan selepas penanaman. Kehadiran jejak lumpur pada batang kelapa sawit dan tangkai daun adalah salah satu petunjuk yang jelas bahawa pokok telah diserang anai-anai. Gejala daun biasa akan dikesan apabila daun pada pelepah bawah menguning dan mati. Kejadian berlaku apabila tanah semakin kering dan sumber makanan mereka terutama kayu balak yang tertimbus di dalam tanah menjadi reput.
Kawalan
Kawalan biologi
Penggunaan patogen sebagai agen kawalan biologi telah lama dianggap sebagai teknologi yang diyakini untuk mengawal anai-anai. Dalam ujian lapangan awal, kulat M.anisopliae (1983) digunakan untuk mengawal Nasutitermes exitiosus. Begitu juga, penggunaan kulat M. anisopliae dan Paecilomyces farinosus menyebabkan100% kematian anai-anai pekerja dalam kajian makmal. Mikrob ini juga boleh digunakan sebagai biopestisid dengan semburan terus kepada pokok kelapa sawit yang diserang atau suntikan tanah ke sekeliling pangkal pokok kelapa sawit untuk melindungi pokok yang belum matang dan yang matang daripada serangan anai-anai.
Kawalan kimia
Racun serangga seperti Fipronil telah dilaporkan berkesan dalam mengawal populasi koloni melalui semburan dan siraman. Gunakan Fipronil (5 ml/5 liter) pada pokok kelapa sawit yang dijangkiti dengan semburan dapat melindungi pokok kelapa sawit dan pokok di sekelilingnya sehingga enam bulan selepas semburan. Rawatan hendaklah dijalankan semasa cuaca baik sewaktu jejak lumpur masih basah. Elakkan menyembur pada musim kemarau kerana kebanyakan anai-anai perosak masuk jauh ke dalam tanah. Penyiraman tanah mungkin tidak sampai ke kawasan sasaran. Kaedah lain yang boleh digunakan dalam mengawal populasi adalah melalui umpan. Umpan boleh dilakukan dengan menggunakan produk umpan komersial seperti Copton (a.i Hexflumuron). Penggunaan mungkin berbeza-beza mengikut serangan dan saiz koloni. Uncang yang disyorkan adalah (1 uncang/kelapa sawit) yang diletakkan di atas lumpur pada kelapa sawit yang diserang dan gantikan jika produk telah dimakan sepenuhnya. Dicadangkan untuk berhenti mengumpan apabila tiada tanda aktiviti anai-anai memakan umpan. Koloni yang lebih besar boleh menghabiskan sehingga tiga uncang. Umpan kurang berbahaya kepada alam sekitar dan anai-anai akan memakan produk tersebut kerana ia mengandungi selulosa yang merupakan salah satu sumber makanan penting anai-anai.