General Information
Rhynchophorus palmarum adalah salah satu daripada perosak utama di ladang kelapa sawit komersial, Cocos nucifera, Elaeis guineensis dan tebu serta pada pokok palma hiasan. Larva memakan tisu yang membesar pada umbut sawit, memusnahkan kawasan pertumbuhan apikal dan menyebabkan kematian palma. Kerosakan ekonomi bergantung kepada spesies palma dan bilangan larva yang menyerang tumbuhan. Populasi sebanyak 30 larva mencukupi untuk memusnahkan pokok kelapa dewasa.
R. palmarum juga merupakan vektor bagi nematod penyakit cincin merah, Rhadinaphelenchus cocophilus. Palma yang dijangkiti nematod cincin merah biasanya mati dalam masa beberapa bulan (2-4 bulan). Kerugian sehingga 10%-15% ditanggung setiap tahun oleh ladang yang diserang penyakit. Kerugian paling besar berlaku pada penghujung musim hujan dan dalam 2 atau 3 bulan pertama musim kemarau. Rupa gejala jangkitan adalah cecincin sepusar merah terdapat meluas di seluruh batang. Gejala lain yang boleh dilihat termasuklah penurunan dalam penghasilan buah, keguguran buah pramatang, kekuningan dan penuaan pelepah, dan ‘sindrom daun kecil’ iaitu pelepah mengalami pertumbuhan yang terbantut. Jalur merah muncul pada tangkai daun dan akar bertukar daripada oren kepada merah pudar serta menjadi kering dan mengelupas. Tiada rawatan yang diketahui untuk penyakit cincin merah.
Kumbang memakan nematod semasa ia masih dalam fasa larva. Sebanyak 10 000 R. cocophilus muda mampu dimakan oleh seekor kumbang. Kumbang betina dewasa meletakkan nematod semasa oviposisi, biasanya pada aksil atau ruas daun. Nematod juga boleh dibawa pada badan kumbang dan memasuki perumah melalui bahagian yang cedera. Sebaik sahaja berada di dalam, nematod menghuni batang pokok kelapa sawit, tangkai daun dan kadang-kadang pada akar, mulai memakan dan membiak dalam tisu pokok. Sawit yang sakit mulai layu dan akhirnya mati. Kitaran ini berulang apabila larva kumbang dan pupa wujud bersama-sama dengan nematod dalam perumah dan merebak sebaik sahaja kumbang dewasa membuat terowong melalui perumah yang hampir mati dan tersebar ke pokok kelapa sawit yang sihat. Kumbang mengikuti bau kairomon untuk mencari perumah pokok kelpaa sawit yang berpotensi. Kairomon dilepaskan melalui bahagian yang tercedera atau torehan pada pokok kelapa sawit.
Jumlah kumbang sawit dewasa berubah-ubah mengikut musim. Di Trinidad, populasi meningkat dari penghujung musim hujan sepanjang musim kemarau di ladang kelapa; manakala di Brazil, Costa Rica, Honduras dan Colombia, pada musim kemarau di ladang kelapa sawit.
R. palmarum paling aktif pada waktu senja dan subuh. Pada masa lain, kumbang mencari perlindungan di tempat yang gelap dan lembap seperti sisa tumbuhan. Penyebaran setempat adalah melalui lantunan, tetapi penyebaran jarak jauh kebanyakannya melalui pergerakan tumbuhan yang dijangkiti untuk penanaman pokok kelapa sawit atau tumpangan kenderaan/jentera
Taburan
Mexico, Amerika Tengah dan Selatan dan Antilles paling selatan.
Pengesanan dan Pemeriksaan
R. palmarum terutamanya menyerang kawasan apikal umbut sawit dan larva kekal tinggal di dalam galeri yang mereka bina. Oleh itu, perosak hanya dapat dikesan apabila tumbuhan yang rosak mulai mati atau dengan menggunakan perangkap berumpan feromon.
KUMBANG DEWASA
Kumbang dewasa mempunyai kutikel hitam dan keras dan mempunyai ciri-ciri elitra Coleoptera, yang melindungi abdomen apabila ditutup. Ia berukuran 4-5 cm panjang dan kira-kira 1.4 cm lebar, dengan berat 1.6-2 g. Kepalanya kecil dan bulat dan mempunyai rostrum ventral melengkung yang panjang.
PUPA
Mempunyai eksarat dan berwarna perang muda. Bahagian abdomen membuat pergerakan beralun apabila terganggu secara berterusan. Pupa mendiami kepompong tertutup berbentuk silinder-ovoid sepanjang 7-9 cm dan berdiameter 3-4 cm, dibina dalam bentuk lingkaran daripada gentian tumbuhan.
LARVA
Berwarna putih krim dan berukuran dari 3-4 mm hingga 5-6 cm panjang. Larva bersifat kanibal; mempunyai bahagian mulut skeloris dengan mandibel yang kuat. Bergerak ke hujung galeri di dalam batang, rakis bunga atau meninggalkan batang sebelum menjadi pupa.
TELUR
Telur bersaiz 2.5 x 1 mm, diletakkan secara individu, 1-2 mm di dalam tisu lembut tumbuhan, berwarna putih dengan bentuk bulat dihujung.
Kawalan dan pencegahan
FITOSANITARI
Ia disenaraikan sebagai perosak kuarantin EPPO A1. Bahan germplasma yang diimport (benih, debunga, kultur tisu) mesti disertakan dengan permit import yang dikeluarkan oleh atau bagi pihak Ketua Pengarah Pertanian Semenanjung Malaysia (termasuk Labuan), atau Pengarah Pertanian Sabah, dan sijil fitosanitari yang dikeluarkan oleh pegawai yang diberi kuasa dari negara pengeksport. Syarat import boleh didapati atas permintaan daripada Bahagian Biosekuriti Tumbuhan Malaysia. Semua konsainan tertakluk kepada pemeriksaan oleh Jabatan Pertanian sebelum diluluskan oleh pihak kastam. Bahan germplasma yang diimport dari kawasan berisiko tinggi hendaklah dihantar untuk kuarantin di negara ketiga sebelum memasuki Malaysia. Tumbuhan perumah alternatif yang diimport seperti Metroxylon sagu, Phoenix dactylifera, Saccharum officinarum dari kawasan yang dijangkiti perlulah dirujuk dengan DOA.
KAWALAN KULTUR DAN KAEDAH SANITARI
Kaedah kawalan yang paling banyak digunakan adalah menangkap kumbang dewasa dengan perangkap. Umpan digunakan sama ada i) bahan tumbuhan yang reput, seperti tisu sawit, nanas dan tebu, atau ii) feromon boleh digunakan. Perangkap diletakkan bersama-sama racun perosak (cth. methomyl, triclorfon dan pirimifos-ethyl) pada bahagian bawah untuk menghapuskan kumbang yang ditangkap. Perangkap berwarna kuning nampaknya lebih cekap daripada perangkap berwarna lain.
Bacaan lanjut
- Bronson, C H (2010). Pest Alert: The Red Ring Nematode, Bursaphelenchus cocophilus. DACS-P-01748.
- CABI Invasive Species Compendium (2015). Rhynchophorus palmarum (South American palm weevil). Url: http:// www.cabi.org/isc/datasheet/47473.
- Giblin-Davis, R (undated). Biology and management of palm weevils. University of Florida/IFAS. Fort Lauderdale Research and Education Centre.
- Howard, F W; Moore, D; Giblin-Davis, R M and Abad, R G (2001). Insects on Palms. CABI Publishing: UK. 400 pp.
- Miguens, F C; De Magalhaes, J A S; De Amorim, L M; Goebel, V R; Le Coustour, N; Lummerzheiwm, M; Moura, J I L and Costa, R M (2011). Mass Trapping and Biological Control of Rhynchophorus palmarum L.: A hypothesis based on morphological evidence. Entomo rasilis, 4(2): 49-55.
- OEPP/EPPO (2005). Data sheets on quarantine pests: Rhynchophorus palmarum. Bull. OEPP/EPPO Bull. 35: 468-471.